Oleh Luth Adwa
SEGAMAT, 20 Jun -Tiga kali mangsa, V. Mahadevi, 55, menjerit meminta tolong selepas dihempap bumbung sekolah ‘terbang’ di bahagian dapur rumahnya di Kampung Tahang Rimau di sini malam tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh abang ipar mangsa, Tamil Selvam Periyasamy Bala, 55, yang turut memaklumkan ketika kejadian Mahadevi berada di rumah itu bersama suami, P. Saravanan, 57, dan seorang adiknya, V. Bala, 51.
Ekoran kejadian menimpa adik iparnya itu katanya, mereka sekeluarga terutama suami mangsa masih lagi terkejut dan trauma.
Seorang jiran, Arif Budiman, 37, berkata, selepas mendengar kejadian itu, dia berlari sekuat hati ke rumah jirannya itu dan mendapati mangsa sudah dihempap bumbung.
“Sebelum kejadian pada kira-kira pukul 7 petang, keadaan hujan lebat disertai petir. Sebaik mendengar jeritan meminta tolong, saya bergegas berlari dan mendapati bahagian dapur rumah jiran dihempap bumbung.
“Saya terus bantu tarik mangsa dari bawah bumbung. Ketika itu, mangsa dalam keadaan tertiarap dan tersepit di bahagian pinggang,” katanya.
Kejadian malang itu berlaku ekoran ribut kira-kira pukul 7.41 malam tadi yang menerbangkan bumbung Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Seg Hwa yang terletak berhampiran dengan rumah mangsa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II, Ab. Rahim Rahmat berkata, lima anggota dan dua jentera bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan. – nasionalkini.my