KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran bagi kaedah perolehan kerja bagi semua projek kecil termasuk pengecualian terhadap Arahan Perbendaharaan (AP) 182 kepada semua Kementerian/Agensi Pelaksana sehingga di peringkat negeri dan daerah dengan had nilai sehingga RM1 juta bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil.
Kementerian Kewangan berkata, semua projek Kerajaan Persekutuan merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan bernilai RM1 juta boleh dilaksanakan terus oleh kementerian dan agensi berkenaan termasuk di peringkat negeri/daerah tanpa perlu melalui Jabatan Teknik termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Pengesahan kerja siap boleh dibuat oleh Ketua Jabatan atau pegawai yang diturunkan kuasa di peringkat Agensi Pelaksana negeri dan daerah dengan mematuhi kesempurnaan kerja mengikut tadbir urus baik.
“Kelonggaran lain adalah mewujudkan satu Pasukan Pemantau Projek sama ada di peringkat negeri atau daerah dengan penglibatan beberapa Agensi atau pegawai daripada pelbagai jabatan bagi membantu memantau pelaksanaan projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil memenuhi objektif yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelonggaran tersebut berkuat kuasa serta merta sehingga 31 Disember 2023, ia bagi memastikan kerja-kerja ini siap dalam tahun semasa.
Bagi pertanyaan lanjut berkenaan AP182 boleh diajukan kepada [email protected] atau hubungi di talian 03-8882 3232/4476/3225. – nasionalkini.my