in

‘Dapat panggilan menyedihkan ketika tunggu suami balas mesej’

Norana Paiman menunjukkan gambar arwah suaminya, Nuri Hasni Mohd Samuri yang maut dalam kemalangan di depan SMK Seri Lalang, Ayer Hitam di Batu Pahat, Johor

Oleh Luth Adwa

BATU PAHAT, 28 Jun – “Dalam hati saya tertanya-tanya kenapa suami berdiam diri tidak seperti kebiasaannya.

“Namun akhirnya saya terima panggilan dari seorang guru memaklumkan suami kemalangan,”

Demikian luahan Norana Paiman, 41, isteri kepada Allahyarham Nuri Hasni Mohd Samuri yang maut kemalangan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Lalang, Ayer Hitam di sini semalam.

Kemalangan jam 1.15 tengah hari itu menyebabkan Nuri Hasni yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha XJ6 maut di lokasi kejadian akibat parah selepas bertembung sebuah treler.

Bercerita lanjut, dia berkata, kali terakhir dia menghantar mesej pada jam 12 tengah hari dan biasanya arwah suaminya akan membalas dan memaklumkan dia sudah tiba di rumah ibu bapanya.

“Selepas mesej saya tidak dijawab suami, rasa tidak sedap hati.

“Sangkaan saya ternyata benar apabila seorang guru menghubungi memaklumkan suami kemalangan,” katanya ketika ditemui.

Pasangan itu mempunyai seorang anak tunggal, Muhammad Haziq Hadi, 15, sebelum ini menetap di Machap, Kluang.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu bertembung dengan treler dari arah Kluang ke Batu Pahat.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

UJ Hotels lancar buku antirasuah

3 sekeluarga nyaris maut langgar kerbau