JOHOR BAHRU, 14 Ogos – Kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) meluluskan kenaikan pangkat guru sekolah agama kerajaan negeri mengikut ‘time-based’ berasaskan kecemerlangan yang bakal memanfaatkan 998 guru agama, mulai tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata sistem kenaikan pangkat itu telah ditambah baik dan dipercepatkan tempohnya.
Beliau berkata, langkah itu adalah satu keperluan untuk memastikan kebajikan pendidik berkenaan terjaga, sekali gus mengelakkan perpindahan guru sekolah agama kerajaan negeri ke Kementerian Pendidikan.
“Penambahbaikan sistem kenaikan pangkat ini menyuntik semangat lagi kepada guru terbabit untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih 186,137 murid di seluruh Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, lapor BH.
Mohd Fared turut mengumumkan 631 jawatan baharu telah dibuka kepada guru agama, tahun ini, meliputi 300 perjawatan tetap.
“Ia melalui proses pemilihan dilaksanakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ) bermula bulan lalu.
“Langkah ini memberi kelegaan kepada kebanyakan guru sekolah agama yang sudah lama berkhidmat dan masih berstatus kontrak,” katanya.- nasionalkini.my