KUALA LUMPUR, 12 Januari – Polis Johor akan menjalankan siasatan susulan video tular di media sosial memaparkan seorang individu dipercayai seorang ketua polis balai melakukan kekerasan terhadap seorang lelaki di tempat awam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 37 saat itu yang tular di media sosial, aplikasi X.
“Video tular itu dikesan pada jam 3.11 petang tadi dengan turut memetik nama pegawai polis terbabit berserta jawatannya.
“Kita akan menyiasat perkara ini dengan terperinci dan menggesa orang awam atau saksi kejadian untuk tampil membuat laporan dan menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Tindakan mengikut undang-undang akan diambil terhadap pihak berkaitan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH Online.
Sementara itu, berdasarkan video tular berkenaan, individu terbabit yang dikatakan sebagai ketua polis balai dilihat mengasari seorang lelaki yang sedang duduk dipercayai di sebuah restoran.
Dalam video itu, suspek dilihat menampar lelaki terbabit sebanyak sembilan kali sambil menarik rambut mangsa.
Antara ayat dilemparkan pegawai polis berkenaan “kau banyak kali buat he?’; ‘bulan puasa ke bulan apa ni?’; ‘dah tak puasa, mencuri lagi?’; ‘bodoh’; ‘bangsat kau’; ‘telefon bapa kau, telefon bapa kau sekarang, cepat telefon bapa kau”.— nasionalkini.my