KUALA LUMPUR, 28 Jun – UJ Hotels & Resorts Management Sdn Bhd melancarkan ‘Buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) UJ Hotels & Resorts Management Services 2023-2027’.
Pelancaran dilakukan Pengerusi Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) selaku pemegang saham syarikat UJ Hotels & Resorts Management Services Sdn Bhd (UJHRMS), Datuk Othman Semail.
Pelan Antirasuah ini memberi tumpuan serius kepada tiga bidang keutamaan yang akan menjadi fungsi teras kepada syarikat iaitu Perolehan dan Kewangan, Pengurusan Modal Insan dan Operasi Hotel.
UJHRMS adalah anak syarikat milikan penuh UJSB, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan aset yang dimiliki penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Incorporated).
Ia berperanan menguruskan semua rangkaian Hotel Raia di lima lokasi seluruh negara.

Othman berkata, sebagai hotel pertama di Malaysia yang melancarkan Pelan Antirasuah, inisiatif pelan itu disediakan dengan mengambil kira situasi semasa dan potensi cabaran dan risiko pada masa hadapan.
“Ini membuktikan pendirian dan kejituan semangat pihak UJHRMS dan Raia Hotel daripada semua peringkat.
“Ia juga untuk memperkukuhkan integriti dan akan memastikan UJHRMS berusaha untuk menjadi sebuah syarikat yang bebas rasuah dan mengamalkan budaya berintegriti serta tadbir urus yang baik,” katanya.
Semua kakitangan UJHRMS turut membaca ‘Ikrar Integriti Korporat UJHRMS’ bagi membakar semangat dan memupuk nilai integriti.
Majlis pelancaran itu dihadiri Timbalan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jamaluddin Bin Puteh dan barisan Lembaga Pengarah syarikat. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN