KUALA LUMPUR 13 Mei – Sebanyak 30 kawasan berada pada tahap satu cuaca panas hari ini berbanding 13 kawasan, semalam yang berlaku di negara ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, 30 kawasan tersebut berada pada tahap berjaga-jaga yang mencatatkan suhu antara 35 hingga 37 darjah celcius.
Tambah kenyataan itu, antara kawasan tersebut ialah Perlis dan Kedah melibatkan Baling, Kota Setar, Banar Baharu, Padang Terap, Kubang Pasu, Kuala Muda, Pendang, Kulim, Sik serta Kuala Muda.
“Kawasan negeri lain terlibat ialah Hulu Perak, Kinta, Kuala Kangsar di Perak; Kuala Krai dan Pasir Mas di Kelantan manakala Bentong, Bera, Jerantut, Lipis, Maran, Raub, Rompin dan Temerloh di Pahang.
“Kuala Lumpur; Kuala Selangor di Selangor; Jelebu, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan manakala Muar di Johor turut mencatatkan cuaca panas tahap satu hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, terdapat satu kawasan di Sabah iaitu Kinabatangan berada tahap satu manakala tiada kawasan di Sarawak yang mencatatkan tahap tersebut.
“Untuk makluman tahap satu menunjukkan tahap berjaga-jaga yang mencatatkan suhu harian antara 35 hingga 37 darjah Celcius selama kira-kira tiga hari berturut-turut,” kata kenyataan itu. – Nasionalkini.my