GEORGETOWN, 2 Julai – Penduduk di beberapa kampung di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang, di sini meneruskan ibadah korban dalam suasana banjir apabila kawasan perkampungan mereka dinaiki air pagi semalam.
Antara lokasi terlibat adalah Kampung Nelayan, Kampung Paya dan Kampung Sulup di Teluk Kumbar serta Teluk Bahang selain beberapa kawasan di pusat bandar.
Banjir berlaku selepas hujan lebat tanpa henti selama beberapa jam sejak malam kelmarin.
Difahamkan, ini merupakan kejadian pertama kali berlaku pada tahun ini selepas pembinaan Rumah Pam Projek Tebatan Banjir (RTB) Teluk Kumbar siap dua tahun lalu.
Pengerusi Surau Kampung Nelayan, Salim Omar berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku ketika penganjuran majlis ibadah korban di kampungnya disifatkan sebagai sejarah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Beliau merangkap ketua kampung berkenaan memberitahu, ibadah korban terpaksa diteruskan dalam suasana hujan dan banjir yang berlaku selama lebih empat jam sejak pukul 6 pagi semalam.
“Kami terpaksa meneruskan program tersebut dan menumbangkan enam ekor lembu dan seekor kambing dengan melibatkan bantuan pemuda-pemuda serta kariah kampung.
“Hampir 1,000 penduduk hadir ke majlis itu meskipun masing-masing terpaksa meredah banjir dan hujan. Suasana jadi meriah kerana lembu-lembu ditarik dan ditambat dalam banjir.
“Air mula surut sekitar pukul 10 pagi semalam (kelmarin) selepas hujan berhenti sejam kemudian,” katanya kepada KOSMO. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN