IPOH, 5 Jun – Polis menahan sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah bersama lebih tujuh kilogram (kg) jenis heroin dan lebih tiga kg ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Sitiawan, Manjung.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kedua-dua suspek berusia 28 dan 29 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 12.05 pagi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di rumah itu, polis merampas dadah dipercayai jenis heroin dengan anggaran berat 7.04 kilogram (kg) dan ganja dengan seberat 3.058 kg.
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM64,570. Turut dirampas peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah.
“Polis juga menyita sebuah kenderaan, tujuh rantai, enam cincin, empat anting-anting dan satu subang hidung yang kesemuanya bernilai RM 72,332.60.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati negatif dadah dan mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini.
“Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di negeri ini dah ia boleh digunakan seramai 15,600 orang penagih dadah,” katanya. – nasionalkini.my