GEORGETOWN, 4 Julai – Polis menggesa semua parti politik bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak menyentuh isu 3R iaitu bangsa, agama dan raja sepanjang tempoh berkempen nanti.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia bagi mengelakkan suasana tidak harmoni dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.
Katanya, semua parti bertanding perlu mematuhi undang-undang pilihan raya, antaranya Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Hasutan.
“Kita menasihatkan parti politik yang bertanding agar tidak menyentuh isu sensitif dengan mengeluarkan perkataan tidak sepatutnya, terutamanya 3R kerana ia boleh mewujudkan keadaan tidak harmoni dan ketidaktenteraman.
“Sekiranya (isu) 3R dimainkan, kita nampak akan berlaku perpecahan… kita nak tengok PRN dalam keadaan aman dan pengundi pun boleh keluar mengundi dengan keadaan aman untuk memilih calon (pilihan) mereka,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau persiapan PRN Polis Kontinjen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, semalam.
Razarudin menjelaskan, polis juga mempunyai pegawai perakam dan pegawai zon yang akan memantau perjalanan kempen sepanjang PRN bagi merekodkan serta memantau aktiviti ceramah.
“Jika ada yang didapati menyentuh berhubung isu 3R, siasatan akan terus dijalankan sama ada oleh Bukit Aman atau di peringkat kontinjen polis itu sendiri.
“Seramai 40,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang berlangsungnya PRN di enam buah negeri terbabit.
“Bagi Kontinjen Pulau Pinang pula, kita menempatkan 663 anggota dan pegawai polis untuk membantu sepanjang PRN di sini.
“Mereka ini terdiri daripada pegawai dan anggota dari Bukit Aman dan kontinjen negeri yang terlibat dengan PRN,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua parti untuk mengemukakan permohonan permit lebih awal jika ingin mengadakan ceramah.
“Kita memang melayan setiap permohonan untuk mendapatkan permit dalam masa 24 jam, namun kita mohon parti politik agar mohon permit ini dengan lebih awal untuk mengelakkan berlakunya pertembungan dengan parti-parti lain di satu-satu kawasan.
“Saya telah ke Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan hari ini di Pulau Pinang untuk meninjau persiapan PRN. Saya mendapati, semua berjalan dengan lancar.
“Selepas ini, saya akan ke Kelantan dan Terengganu pula untuk tujuan sama,” katanya.
Selain Pulau Pinang, lima negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri dan pada Pilihan Raya Umum 2018, Pakatan Harapan memenangi 37 kerusi, ketika BERSATU masih menjadi sebahagian daripada PH. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN