in

Anjakan paradigma bantu pulih imej Melayu

Gambar oleh KOMPAS

CAMERON HIGHLANDS, 29 Mac – Stigma yang meracuni pemikiran lama kononnya ‘Melayu malas’ perlu diubah jika bangsa Melayu ingin bersaing dengan lebih sihat.

Memulakan perniagaan sebagai contoh, tidak hanya terhad kepada memuaskan hati sendiri semata, tetapi boleh menghasilkan produk yang mempunyai ‘wow factor’.

Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali berpandangan, penghasilan produk berstatus muslim dan halal sahaja belum cukup untuk menerobos pasaran lebih luas.

Dr Abdul Rasid bersama Tun Dr Mahathir

“Akhirnya adakah kita hanya mahu berpuas hati dengan pencapaian di peringkat dalam negara saja atau ingat meneroka peluang lebih besar di luar sana,” soalnya.

Dia yang juga AJK Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pahang berkata, memiliki produk atau kemahiran tanpa disusuli dengan perkhidmatan selepas jualan yang mantap, akan menyekat perkembangan jenama itu sendiri.

“Tidak cukup hanya memegang status halal dan buatan muslim kalau kualiti masih tidak kompetitif dengan produk dihasilkan orang lain,” katanya lagi.

Abdul Rasid juga mengingatkan bahawa produk yang bagus juga perlu memiliki ciri budaya dan disusuli akhlak muslim itu sendiri.

Gambar hiasan

Katanya, menjadi keutamaan dalam Islam untuk memberikan hasil kerja terbaik dalam setiap apa yang dilakukan.

“Semua ini mempunyai perkaitan secara langsung… dan ini menjadi tanggungjawab kita dalam memperbetulkan tanggapan lama terhadap orang Melayu.

“Kita mahu dikenali sebagai bangsa yang bukan malas seperti didakwa pihak tertentu.

“Jika dulu orang pandang kita sebagai bangsa yang suka ‘makan komisen’, maka kita kena betulkan persepsi itu.

“Bahkan masih ramai melihat orang Melayu sebagai kumpulan yang suka menyewakan lesen kedai, permit lori dan pelbagai lagi kepada bangsa lain untuk mendapat hasil yang mudah,” ujarnya.

Gambar oleh Sinar Harian

Abdul Rasid bagaimanapun yakin bahawa tanggapan itu boleh diubah jika orang Melayu sedar dengan kemampuan diri mereka.

“Kita kena bangkit dan buktikan bahawa orang Melayu bukan lagi bangsa seperti itu.

“Orang Melayu juga mampu menguruskan projek besar bernilai jutaan ringgit dan tidak hanya mengharapkan komisen.

“Sebab itu kita kena buat satu tekad, satu perubahan minda dan anjakan pemikiran untuk berjaya,” katanya.

Pengerusi PN Cameron Highlands itu juga berkata, orang Melayu dan muslim perlu menyedari kuasa beli yang mereka miliki kerana ia juga mampu mengubah landskap perniagaan dalam negara.

Gambar oleh Reuters

“Buktinya sudah ada apabila rakyat Malaysia melancarkan kempen boikot produk tertentu apabila konflik tercetus di Palestin pada November lalu.

“Beberapa jenama besar di peringkat global berdepan kerugian besar bahkan ada yang berisiko bangkrap akibat kuasa boikot ini.

“Ini jelas menunjukkan betapa kuat pengaruh yang boleh dicetuskan atas nama kesedaran orang Melayu-Islam.

“Dan kuasa beli ini juga perlu disalurkan bagi meningkatkan ekonomi Melayu-Islam di Malaysia,” jelasnya.

Dia turut menarik perhatian kepada polisi dibawa penjajah sejak ratusan tahun lalu.

Sekilas fakta

“Kebanyakan daripada rakyat kita masih terikat dengan penjajahan minda dan perasaan kurang yakin diri.

“Masih ada yang begitu memuja dan kagum dengan peninggalan penjajah sedangkan kita menjadi mangsa kepada pemikiran lapuk itu.

“Amat merugikan apabila semua kelebihan dimiliki orang Melayu-Islam tidak digunakan sebaik mungkin dalam menentukan hala tuju ekonomi dan kemahuan politik hanya disebabkan minda komisen masih menebal dalam pemikiran kita,” katanya.– nasionalkini.my

Misi bermotosikal ke Makkah tiba di sempadan China

Ziarah kematian di Lepar Hilir 1