in

’20 sen terakhir buat anakku Qayra’

IMG 20230526 WA0001
Nur Qayra Quraisya (gambar atas kiri) meninggal dunia akibat digilis sebuah lori ketika bermain berhampiran rumahnya di Kampung Paya Mengkuang, Batang Tiga, Melaka, petang semalam

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 26 Mei – “Beberapa minit sebelum kejadian, arwah sempat datang meminta 20 sen daripada saya yang berada tidak jauh dari tempat kejadian untuk beli aiskrim.

“Kemudian tak lama selepas itu, saya dikejutkan dengan bunyi riuh dan segera berlari ke tempat kejadian sebelum mendapati anak saya sudah dilanggar lori muatan pasir itu,” kata Muhamad Qayyum Abdul Aziz.

Qayyum, 37, berkata demikian menceritakan detik sebelum anak bongsunya, Nur Qayra Quraisya, 5, meninggal dunia akibat digilis sebuah lori ketika bermain berhampiran rumahnya di Kampung Paya Mengkuang, Batang Tiga, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.25 petang itu, mangsa, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia tidak menyangka pemberian 20 sen itu adalah yang terakhir sempat ditunaikan kepada Nur Qayra Quraisya yang mesra disapa Adik.

“Memang menjadi rutin Adik selepas pulang dari Tadika, dia akan singgah ke rumah mak saya dan semalam, saya pun berada di situ membantu kerja-kerja kontraktor sebuah rumah di kampung itu.

“Malah, lori yang terlanggar anak saya itu pun membawa pasir yang sepatutnya di hantar ke rumah berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, tengah malam tadi.

Tambahnya sejak seminggu lalu, arwah sering meminta hajatnya ditunaikan perkara dengan cara yang berbeza dan menguji kesabarannya membuatkan dia berasa pelik.

“Sebelum ini, Qayra tak begitu tapi sejak saya cuti selama seminggu meluangkan masa dengannya, sikapnya agak mendesak sedikit namun saya tidak memarahinya.

“Tak sangka pula, rupanya itu petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga,” katanya yang mempunyai tiga orang anak dengan termasuk sulung berusia 13 tahun.

Menurutnya walaupun sedih, dia dan isteri, Faezah Kadir, 38, reda dengan kejadian itu dan berharap masyrakat tidak terus membuat sebarang spekulasi sehingga mengganggu emosi mereka sekeluarga.

Tambahnya, jenazah dikebumikan di Kampung Padang, Malim di sini tengah malam tadi. – nasionalkini.my

20230526 073603

Pening punca Zii Jia kalah

Lelaki ditahan hina institusi raja