KUANTAN, 12 Julai – Tourism Malaysia Pahang menawarkan pakej pelancongan berasaskan alam semula jadi dan makanan tradisional kepada pelancong berkunjung ke negeri ini.
Pengenalan pakej itu dijangka menarik lebih ramai pelancong memilih Pahang sebagai destinasi wajib dikunjungi mereka.
Pengurus Besar Tourism Malaysia Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, sebagai permulaan pihaknya membawa pemain industri pelancongan dan pempengaruh media sosial dari Singapura untuk membantu mempromosikan pakej itu.
“Ini adalah permulaan dan kami berterima kasih kepada Tourism Singapura kerana memberi kerjasama baik menjayakan lawatan familiarisasi yang bermula 10 hingga 14 Julai ini.
“Sudah tentu ia akan membawa kesan besar kepada jumlah kedatangan pelancong dari Singapura ke Pahang.
“Walaupun ia hanya berlangsung selama lima hari dan kita tidak mungkin dapat membawa mereka ke semua tempat menarik di Pahang, tapi kita akan cuba memberikan segala maklumat diperlukan sepanjang lawatan ini,” katanya.
Kamaruddin berkata, pihaknya memberi fokus kepada empat daerah bagi lawatan kali ini kepada pemain industri dan pempengaruh media sosial Singapura kunjungi.
“Untuk siri (lawatan) akan datang, banyak lagi tempat menarik kita akan bawa mereka.
“Siri pertama ini kita perkenalkan dulu apa yang ditawarkan di Rompin, Kuantan, Temerloh dan Bera,” katanya lagi.
Program Perjumpaan Business To Business/ Business Matching Sempena Lawatan Familiarisasi (Fam Trip) Singapura – Pahang 2023 itu diadakan di Kuantan 188 dan dirasmikan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man.
Antara destinasi dikunjungi peserta lawatan itu adalah Taman Negeri Rompin, Teluk Cempedak, Serambi Teruntum, Kuantan 188, Kuantan Art Street, Sungai Lembing dan Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Temerloh.
Turut dilawati adalah Kampungstay Desa Muni Temerloh, Rinchen Jangsem Ling Buddhist Retreat Centre, Tasek Bera dan Pulau Tioman.
“Promosi berterusan di dalam dan luar negara juga akan diperhebatkan bagi memastikan negeri Pahang dapat mencapai sasaran seramai 13 juta pelancong ke negeri ini pada 2023,” katanya.- nasionalkini.my