MACHANG, 12 Julai – Pasangan kembar dari Kampung Bandar, di sini, menjadikan laman belakang rumah sebagai bengkel membuat kiosk bergerak (mobile kiosk) yang dipelajari dari Youtube selepas kehilangan sumber pendapatan akibat COVID-19.
Mohd Hamdi Mohamed Zain, 43, berkata bermula Mac 2020, dia bersama adik kembarnya, Mohd Hamdan mula membuat kajian mengenai cara membina kiosk untuk memulakan perniagaan makanan.
Katanya, mereka mengambil masa kira-kira setahun setengah untuk memastikan kiosk dibina mencapai piawaian diperlukan.
Berbekalkan modal hasil wang simpanan berjumlah RM50,000, mereka membeli peralatan dan mesin khas untuk tujuan itu.
“Kiosk dibina tidak terhad kepada peniaga makanan sahaja, malah ada juga yang mengusahakan perubatan tradisional seperti bekam turut membelinya.
“Harga sebuah kiosk dijual bermula serendah RM15,000 hingga RM28,000 seunit,” katanya ketika ditemui BH di rumahnya di Kampung Bandar, di sini.
Mohd Hamdi berkata, bermula Ogos 2021, mereka menerima tempahan daripada seorang peniaga makanan di Rawang, Selangor dan sehingga kini sudah membina 30 unit kiosk bagi memenuhi pesanan pelanggan di seluruh negara termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Pada ketika ini, kami juga sedang menyiapkan enam unit kiosk yang sudah dipesan pelanggan,” katanya yang turut dibantu oleh lima orang pekerja.
Dia berkata, untuk menyiapkan sebuah kiosk ia perlu melalui beberapa proses bermula daripada membuat kerangka, badan kiosk, bumbung dan terakhir adalah mengecat keseluruhan kiosk mengambil masa selama seminggu.
“Tempoh diperuntukkan untuk menyiapkan sebuah kiosk adalah antara sebulan hingga sebulan setengah, bergantung kepada saiz dan ‘aksesori’ diperlukan pelanggan,” katanya.
Mereka kini dalam perancangan untuk mencari kawasan lebih luas untuk dijadikan bengkel sebagai tempat pembuatan kiosk disebabkan permintaannya semakin meningkat.- nasionalkini.my