MENIKMATI urutan refleksologi adalah antara pendekatan dilakukan bagi merehatkan minda.
Pemilihan lokasi untuk mendapatkan perkhidmatan urutan refleksologi juga penting supaya ketenangan itu memberi kepuasan kepada kita.
Jika anda ingin mengalami suasana selesa sambil merehatkan fikiran, boleh ke Moaz Refleksologi Centre yang terletak di No 57, Jalan IM2/1, bandar Indera Mahkota, Kuantan.
Pusat refleksologi itu diusahakan Mohd Azaha Endot, 39 tahun, yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu.
Mohd Azaha atau lebih dikenali dengan panggilan Moaz, mempunyai pengalaman hampir 17 tahun dalam bidang urutan refleksologi.
Moaz adalah seorang insan istimewa, berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas kehilangan panca indera kira-kira 30 tahun lalu.
“Sebelum ini saya normal, sama seperti anda, sehinggalah pada Ogos 1993, saya hilang deria penglihatan.
“Sejak hari itu, saya belajar hidup dengan keupayaan terhad dan belajar berkaitan urutan refleksologi.
“Tempat pertama saya timba ilmu adalah dengan Persatuan Pembangunan Orang Buta Pulau Pinang pada 2016,” katanya kepada wakil nasionalkini.my baru-baru ini.
Moaz berkata, dia belajar di situ selama tiga bulan sebelum mendalami kemahiran berkaitan refleksologi di beberapa lagi pusat urutan.
“Saya berhijrah ke sini pada Mac lalu, kebetulan isteri saya, Amirra Aziz, yang bekerja di Telekom Malaysia (TM) dipindahkan ke sini.
“Jadi, saya mulakan secara kecil-kecilan dulu pusat refleksologi dan sambutan diterima setakat ini sangat baik,” katanya yang mempunyai sepasang cahayamata hasil perkongsian hidup dengan Amirra.
Dia memberitahu pusat urutan refleksologi diusahakannya itu beroperasi dari jam 8 pagi hingga jam 10 malam.
“Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan refleksologi boleh menghubungi nombor telefon disediakan bagi memudahkan mereka,” katanya lagi.
Moaz Refleksologi Centre boleh dihubungi di talian 019 945 1452 atau 017 936 8427.
Mereka juga mempunyai laman sosial Facebook untuk memudahkan pelanggan melihat perkhidmatan ditawarkan di situ.- nasionalkini.my