Oleh Hajidah Miharbi
KUALA LUMPUR 20 Mei: Anak bongsu Rozita Che Wan, Aaisyah Dhia Rana dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan gigi Supernumerary Mesiodens Tooth hari ini.
Pelakon yang mesra disapa Che Ta berkata, anaknya yang akan genap sembilan tahun November depan lebih banyak tidur dan berehat selepas menjalani pembedahan berkenaan.
Katanya lagi, pembedahan itu dilakukan di hospital pakar Global Doctors di Mont Kiara dibawah kendalian serta pemantauan tiga doktor.

“Ikutkan sejak beberapa bulan lalu, dia (Aaisyah) sering mengadu tak selesa di bahagian giginya.
“Jadi selepas dipermudahkan, pembedahan berjaya dilakukan hari ini. Menurut doktor, kes seumpama ini agak jarang terjadi iaitu kewujudan gigi lebih di bahagian tengah.
“Kata doktor lagi, secara umumnya di dalam dunia ini ada sekitar 0.5 hingga 3 peratus kes seumpama itu,” katanya.
Tambah pelakon yang terkenal menerusi drama Kiah Pekasam itu, pembedahan itu perlu untuk membolehkan pertumbuhan gigi kekal baharu yang lain.

“Masa melakukan CT Scan baru-baru ini, baharu nampak masalah yang timbul. Apabila dilakukan X Ray memang wujud masalah itu,” katanya.
Ibu kepada tiga orang anak itu dalam masa sama bersyukur kerana Aaisyah kuat semangat.
“Terima kasih yang mendoakan kesihatan dan keadaannya,” kata isteri kepada Zain Saidin itu.
Terdahulu Che Ta memuat naik beberapa keping gambar Aaisyah di Instagram sebelum dan selepas menjalani pembedahan Supernumerary itu. -nasionalkini.my
