RAMALLAH, 18 Julai – Kira-kira 3,866 rakyat Palestin termasuk 568 kanak-kanak dan 72 wanita ditahan tentera Israel sejak awal tahun ini, menurut kumpulan hak asasi Palestin.
Jumlah itu didedahkan dalam kenyataan bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Kelab Tahanan Palestin, pertubuhan hak-hak banduan Addameer dan Pusat Maklumat Wadi Al-Hilwa.
Memetik laporan english.wafa.ps memaklumkan penahanan paling ramai dilakukan di wilayah Baitulmaqdis iaitu seramai 1,800 orang.
Malah, sehingga kini kira-kira 5,000 rakyat Palestin berada di penjara Israel, termasuk 32 wanita dan 160 kanak-kanak.
Lebih menyedihkan daripada jumlah itu seramai 862 rakyat Palestin telah diletakkan di bawah tahanan pentadbiran, langkah yang disifatkan bertentangan hak asasi manusia kerana dilakukan tanpa sebarang pertuduhan atau perbicaraan. – Agensi