in

Buka bengkel guna pengalaman

Antara deretan kenderaan pacuan empat roda yang dihantar untuk pembaikan ke Pejo Motor

Oleh Aimy Maisarah

KOTA BHARU, 26 Julai – Berpengalaman selama 21 tahun membaiki jentera berat ketika berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membolehkan Nik Mohd Fahizul Nik Mohamad Mustapha, 44, membuka bengkel sendiri.

Bersara dari ATM pada usia 39 tahun ketika berpangkat Sarjan di Kem Desa Pahlawan Kok Lanas, di sini, dan dengan bermodalkan RM80,000, membuka bengkel servis dan baik pulih kenderaan pacuan empat roda, empat tahun lalu.

Segala ilmu dan pengalaman diperoleh ketika berkhidmat bersama Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja ATM dicurahkan sepenuhnya dalam perniagaan di bawah jenama Pejo Motor di Kampung Bechah Kura, di sini.

“Permulaannya, saya menyewa sebuah kedai satu pintu dengan modal RM80,000 dan ketika itu saya hanya mampu mengupah seorang mekanik dan kerani.

“Alhamdulillah dalam tempoh setahun, saya dapat menyewa sebuah lagi kedai bersebelahan bengkel dan menambah pekerja,” katanya.

Nik Mohd Fahizul Nik Mohamad Mustapha (tengah) menerangkan operasi bengkelnya kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari

Nik Mohd Fahizul berkata, bersara pada usia muda membolehkan dia fokus dalam pekerjaan yang tidak ramai disertai golongan bumiputera.

Bapa kepada dua anak itu berkata, antara cabaran yang ditempuhi dalam bidang itu adalah kesukaran mencari tenaga kerja terlatih seperti kenderaan ringan lain.

“Saya bersyukur kerana kini saya memiliki tujuh mekanik terlatih dan dua kerani yang membantu melancarkan kerja-kerja di bengkel,” katanya.

Menurutnya, kenaikan harga barang dan alat ganti juga antara cabaran yang terpaksa dihadapi dalam bidang itu.

Kecekalan Nik Mohd Fahizul itu turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang berkunjung ke bengkelnya sempena Program Peduli Veteran Peringkat Negeri Kelantan, Isnin lalu.- nasionalkini.my

Bojan tinggalkan KL City

Jangan gantung bahan kempen pada aset TNB