KUANTAN, 15 Disember – Misi mengelilingi dunia oleh Jack Voon yang dijadualkan tahun depan dijangka berdepan pelbagai cabaran.
Antara cabaran paling besar ialah kos untuk membiayai misi itu.
Jack berkata, perbelanjaan bagi menjayakan misi berkenaan mungkin mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit.
“Ia antara perkara yang perlu difikirkan kerana kos untuk mengelilingi dunia amat besar.
“Sebelum ini pun saya sudah mengeluarkan wang poket sendiri untuk baik pulih dan selenggara kereta Perodua Kenari yang akan digunakan bagi misi berkenaan.
“Selain itu, terdapat beberapa lagi halangan lain yang perlu difikirkan seperti permohonan visa dan aspek keselamatan sepanjang kembara ini,” katanya.
Dia memaklumkan sedang berusaha untuk mengumpul maklumat cara untuk menghubungi pejabat kedutaan Malaysia di luar negara yang akan dilaluinya sepanjang misi itu.
Katanya, penilaian risiko juga sedang dilakukan bagi mengelak insiden seperti menjadi mangsa penculikan di negara tertentu.
“Jadi kena buat penyelidikan banyak, laluan mana yang paling selamat dan negara mana yang perlu dielakkan.
“Itu belum lagi kita bercakap mengenai risiko konflik bersenjata di sesetengah negara.
“Jadi, banyak perkara kena teliti sebelum misi ini dimulakan,” katanya lagi.
Jack berharap dapat melengkapkan misi itu – merentasi benua Asia, Afrika, Amerika dan Eropah, dalam masa tiga tahun.— nasionalkini.my