in

Proses ubah suai Kenari hampir siap

Jack Voon bersama pekerja Paka Turbo Garage

KUANTAN, 8 Februari – Semua proses ubah suai kereta jenis Perodua Kenari yang akan digunakan Jack Voon dalam misi mengelilingi dunia sudah hampir siap.

Minggu ini Voon berada di kedai ubah suai terkenal dekat Semambu – Paka Turbo untuk pemasangan alat pemanas bagi kereta itu.

Dia berkata, fungsi alat pemanas adalah hampir sama seperti penghawa dingin yang biasanya dimiliki kenderaan di negara beriklim Khatulistiwa.

“Sebab misi ini juga akan melalui negara beriklim sejuk, jadi kena pasang ‘heater’ bagi memastikan kereta ini dapat menyesuaikan diri dengan suasana sekeliling.

“Jadi saya bawa kereta ke Kuantan memandangkan tidak ada kedai aksesori yang boleh memasang ‘heater’ di Sarawak,” katanya.

PERLU UBAH SUAI IKUT CUACA

Selain memasang alat pemanas, kereta itu juga sudah dilengkapi kemudahan khemah khas yang sesuai untuk keadaan cuaca sejuk.

Dia juga sedang mengubahsuai beberapa lagi bahagian pada kenderaan Kenari itu, untuk kemudahan sepanjang ekspedisi berkenaan.

“Setakat ini banyak pihak tampil menaja ekspedisi yang saya akan mulakan dalam masa terdekat.

“Masih ada lagi kekurangan dana tapi saya percaya misi ini berpotensi mengharumkan nama negara Malaysia.

“Jadi, saya harap ramai yang sudi membantu dalam memberikan tajaan bagi menjayakan ekspedisi julung kali ini,” katanya.– nasionalkini.my

MPT BERSATU kekal sokong Muhyiddin

Pemeriksaan gigi percuma untuk penghuni Sang Riang