in

Hari Profesion Teknikal Negara dekatkan Roadcare dengan masyarakat

Gambar oleh Roadcare Wilayah Pahang

KUANTAN, 16 September – Penganjuran Hari Profesion Teknikal Negara menjadi jambatan antara Roadcare dan komuniti.

Melalui program itu, masyarakat dapat mengetahui dan memahami bidang tugas serta kepakaran dimiliki Roadcare.

Ketua Pegawai Eksekutif Roadcare, Datuk Wan Imran Wan Omar berkata, program seumpama itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam mendekati komuniti, terutamanya pelajar di peringkat sekolah menengah.

Ketua Pegawai Eksekutif Roadcare, Datuk Wan Imran Wan Omar

“Ia juga sekaligus dapat memberikan maklumat dan pemahaman lebih jelas kepada semua pihak mengenai peranan dimainkan Roadcare.

“Sebagai rakan strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) , adalah menjadi misi Roadcare dalam menyediakan perkhidmatan terbaik membabitkan pembinaan jaringan jalan yang selamat serta selesa untuk pengguna jalan raya di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Hari Profesion Teknikal Negara di Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (SABS), Kuantan.

Program dianjurkan Cawangan Selenggara Fasiliti Jalan (CSFJ) JKR Malaysia.

Sesi itu dirasmikan Pengarah CSFJ JKR, Ir Mohd Nasir Bontat.

Pengetua SABS, Asruddin Abas bertindak sebagai moderator bagi sesi perkongsian berkaitan peranan CSFJ JKR dan Roadcare.

Gambar oleh Roadcare Wilayah Pahang

Kira-kira 40 pelajar SABS dari tingkatan lima dan enam menyertai sesi berkenaan.

Roadcare turut memaklumkan pihaknya bukan hanya terbabit dalam menyediakan jaringan jalan raya lebih efisien di Malaysia, tetapi turut memainkan peranan dalam pembinaan modal insan berkepakaran pengurusan serta teknikal.- nasionalkini.my

AIM anjur kejohanan bola jaring komuniti

Tugas sukar UMNO-BN di Pelangai