Oleh Yusuf Shafie
ALOR GAJAH, 22 Julai – Rumah pusaka milik abang kepada wartawan Melaka Hari Ini (MHI) Faiz Abu Hasan, Mohd Faizal, 38, musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Petai di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, semua tujuh beranak itu bagaimanapun sempat lari menyelamatkan diri ketika api sedang marak meranapkan rumah separa papan itu menjadi abu.
Mohd Faizal berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan jeritan api dari jiran yang berlari ke ruang depan rumah.
“Jiran menjerit minta kami segera keluar menyelamatkan diri dan saya tergamam apabila melihat api sudah begitu marak.
“Saya hanya mampu memanggil isteri dan tiga anak selain mentua, makcik dan adik ipar berlari keluar menyelamatkan dua buah kereta di hadapan rumah dan tabung berisi duit syiling,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Tambahnya, api marak begitu cepat sehingga memusnahkan hampir keseluruhan rumah namun bersyukur kerana tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Sementara itu Komander operasi, Penguasa Bomba Kanan (PBK ll), Mohd Fadil Saidin berkata, seramai 22 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Cheng dan Tangga Batu dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 7.13 malam.
“Setiba pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati rumah separa kekal itu telah terbakar 90 peratus dan operasi pemadaman tamat pada pukul 10.34 malam,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Mohd Faizal boleh menyalurkan sumbangan menerusi nombor akaun Maybank miliknya di nombor 154101314778. – nasionalkini.my