KITA merancang Allah jua menentukan… Siapa sangka hidupnya yang sebelum ini penuh warna-warni dari kecil hingga menginjak dewasa dan menempuh alam muda dengan penuh kenangan sehingga mampu membina empayar sendiri.
Malah, pernah bercita-cita mahu menjadi pemain bola sepak yang hebat seperti Fandi Ahmad dan rakan-rakan seangkatannya meskipun bergraduan dalam Biologi Pemulihan dan Ekologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melayakkan dirinya bergelar saintis.
Namun siapalah kita untuk menindakkan ketentuan sang pencipta ketika berada di puncak kejayaan itu lelaki hebat berusia 45 tahun itu diuji secara tiba-tiba menyebabkan matanya tiba-tiba berdarah tanpa sebab.
Meskipun mengakui longlai selepas dikhabarkan oleh pakar perubatan matanya tidak boleh diselamatkan namun di hati kecil Pengasas IKTBM Group Sdn Bhd, Tarmizie Ismail tidak mahu mengalah dan terus meratapi dengan nasib yang dialui.
Tidak dinafikan sedih dan sayu menyelubungi hati mengenangkan nasib dan masa depan empayar yang dibangun dengan penat lelah selama 20 tahun ini,akuinya yang juga merupakan pengasas nasionalkini.my.
Lagi menyedihkan saat diuji itu dirinya sedang bersiap untuk meraikan empayarnya yang baharu diceburi menerusi penjualan kereta-kereta import.
lelaki hebat yang bergelar utawan muda tersebut sebelum ini memulakan diri dalam dunia perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik sebelum melebarkan lagi sayapnya dengan perniagaan lain termasuk perkapalan, agensi pelancongan dan Umrah.
Ternyata, setiap kesusahan yang diberikanNya pasti ada hikmah tersendiri dan di sebaliknya kekurangan itu Tarmizie masih mampu membuktikan kejayaan walaupun dalam keadaan dirinya yang baru.
Kini perniagaan dalam penjualan kereta import mendapat sambutan selain meneruskan perniagaan lain yang dikuasai sebelum ini.
“Pelbagai onak dan duri saya pernah rasai, bermula ditipu rakan sendiri, dicemuh dan dan dikeji namun itu semua tidak melemahkan semangat untuk terus bekerja,” ujar anak kelahiran kelahiran Melaka.
Namun, dia sangat bersyukur dua wanita penting dalam hidupnya, ibunya Khaliyah Md Nor dan isterinya, Wan Anisah Wan Manan tidak pernah meninggalkan dirinya dalam keadaan suasah dan senang.
“Kekuatan ini semuanya lahir dari semangat dua Wanita hebat dalam hidup saya, mereka tidak pernah meninggalkan saya di saat saya di bawah mahupun ketika dipuncak.
“Kekuatan ini saya pegang sehingga saat ini sehingga mencapai apa yang saya ada hari ini,” katanya penuh syukur.
Kini dia bangga dua adiknya, Bukhairi dan Muadz turut menyertai dalam mengembangkan lagi perniagaan yang diceburi yang diasaskan mengikut akronim pangkal nama ibu bapanya diikuti namanya sendiri dan dua lagi nama adiknya.
Bapa kepada tiga cahaya mata ini mengakui perjalanan yang pernah dilalui bukannya mudah namun perlu melalui pelbagai proses termasuk jatuh sebelum Kembali bangkit.
Namun pesannya saat jatuhnya itu merupakan proses pembelajaran yang sangat penting untuk kembali bangkit.
Malah dirinya sendiri mengambil masa hampir setahun untuk menghimpun keberanian dalam dunia perniagaan yang diceburi walaupun pada awalnya dengan pelbagai dugaan yang diharungi.
Justeru beliau menasihati anak-anak muda khususnnya yang mahu menceburkan diri dalam dunia perniagaan perlu kental dan terus bersemangat selain perlu memiliki mentor-mentee yang boleh memberi sokongan.
Sebagai anak Melayu yang sayangkan tanah air sendiri perlu hapuskan pandangan mengenai Melayu adalah bangsa yang malas sebaliknya perlu buktikan bangsa kita juga boleh berjaya seperti bangsa-bangsa lain.
Situasi itu mendorong untuk Tarmizie bersedia berkongsi kebolehan dan kejayaan meskipun dalam keadaan berstatus OKU .
Malah beliau turut mengimpikan anak bangsanya menguasai dunia perniagaan terutama sebagai jalan memperbaiki ekonomi masyarakat Islam Melayu, khususnya. – nasionalkini.my