in

Keputusan PRN lebih awal Sabtu ini

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini, dapat diumumkan lebih awal berbanding sebelum ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata ia selaras dengan penambaikan kepada sistem pengurusan pilihan raya yang dijalankan.

“SPR menjangka keputusan boleh diumumkan lebih awal berbanding pengumuman keputusan pilihan raya sebelum ini, tetapi ia bergantung juga kepada keadaan dan situasi semasa yang berlaku pada hari berkenaan,” katanya kepada BH, semalam.

Ditanya berkenaan jangkaan peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini dapat kekal tinggi seperti undi awal kelmarin, beliau berkata SPR sentiasa menyasarkan peratusan keluar mengundi yang tinggi.

“Justeru, SPR memohon kerjasama semua pihak termasuk media dan parti politik supaya turut mengambil langkah menggesa dan menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Sabtu ini,” katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi peratusan keluar mengundi dalam sesuatu pilihan raya yang diadakan.

Katanya, ia termasuk tahap kesedaran menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, keinginan kepada perubahan dalam senario politik, isu semasa berkaitan sosioekonomi rakyat dan daya tarikan kepada tawaran pembaharuan dijanjikan semua calon dan parti bertanding.

“Faktor persekitaran pada hari mengundi seperti keselamatan, kemudahan pengangkutan dan cuaca juga memainkan peranan yang menyumbang kepada peningkatan peratusan keluar mengundi,” katanya.

Kelmarin, seramai 72,554 pengundi awal membabitkan anggota tentera, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka melaksanakan tanggungjawab mengundi sempena PRN di enam negeri.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, dilaporkan berkata jumlah peratusan keluar mengundi bagi semua negeri terbabit melebihi 90 peratus.

Katanya, Kedah merekodkan 96.02 peratus jumlah keluar mengundi diikuti Terengganu (95.91 peratus), Selangor (95.87 peratus), Pulau Pinang (95.01 peratus), Negeri Sembilan (94.05 peratus) dan Kelantan (93.9 peratus).

“Bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, seramai 1,286 orang pengundi atau 95.47 peratus daripada tentera dan pasangan serta polis sudah mengundi awal,” katanya.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

ACIGOLD perkenal aplikasi ACI CHAT

2 kumpulan cabar arahan haram TikTok