in

Khidmat COD beri rezeki tambahan

Maklumat mengenai perkhidmatan COD sekitar Kuantan boleh diperoleh melalui laman sosial Facebook 'COD Makanan Kuantan'

SEJAK enam tahun lalu, Nurayu Ainuddin tidak pernah ‘penat’ berusaha untuk keluarganya.

Dia yang juga ibu tunggal, pernah berniaga pulut mangga dan pulut durian di tapak car booth sales Taman Tas.

Dalam masa sama, Nurayu yang turut dikenali dengan panggilan ‘Kak Ayu COD’ menyediakan sekali perkhidmatan menghantar pelbagai jenis makanan kepada pelanggan.

“Dari situlah nama ‘COD’ melekat dengan saya.

“Pendek kata, perkhidmatan menghantar makanan itu memang mendapat sambutan baik dan memberi pendapatan tambahan kepada kami sekeluarga,” katanya kepada wakil nasionalkini.my baru-baru ini.

Maksud ‘COD’ ialah ‘cash on delivery’ dan Nurayu mengenakan kadar bayaran tertentu mengikut jarak – sama seperti perkhidmatan e-hailing yang lain.

Nurayu Ainuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ayu COD antara yang aktif dalam kumpulan COD Makanan Kuantan

Dia mempunyai lima cahayamata dan anaknya sudah mula mencipta kejayaan dalam pelajaran masing-masing.

“Anak yang sulung akan memasuki Universiti Sains Malaysia tak lama lagi.

“Anak kedua pula di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, dua lagi bersekolah di sekolah berasrama penuh integrasi dan paling bongsu masih di prasekolah,” katanya lagi.

Dia pernah menaiki bas selama tiga jam ke Mersing, Johor untuk menjual ramen kepada pelajar Maktab Rendah Sains MARA di sana, ketika itu anaknya belajar di situ.

Selain menjual pulut durian dan pulut mangga, Nurayu juga menyediakan perkhidmatan COD untuk pelbagai jenis makanan.

“Saya hantar ikut tempahan dan ikut musim, macam musim perayaan, banyak yang minta COD ketupat, lemang dan macam-macam lagi.

“Bubur asyura pun ada yang minta COD, jadi itu semua rezeki untuk saya dan keluarga,” katanya.

Penduduk sekitar Kuantan boleh melayari laman sosial Facebook ‘COD Makanan Kuantan’ untuk memesan makanan mereka.

Terdapat 12 orang ahli COD Kuantan yang sedia membantu menghantar makanan kesukaan anda.- nasionalkini.my

Teo Nie Ching dipilih ketua wanita DAP

RM14.767 juta untuk bantuan pendidikan di Pahang