Oleh Luth Adwa
KETIKA ini hangat diperkatakan tentang isu tiga panglima perang atau ‘warlord’ dari negeri Johor yang dikatakan bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Apabila isu ini dibangkitkan, rakyat negeri Johor terutama yang mengikuti perkembangan politik negeri ini pasti mengetahui siapa empunya diri tiga ‘warlord’ berkenaan kerana masing-masing mempunyai pengaruh terutama di kawasan diwakili.
Ada juga yang tentunya tertanya-tanya dalam kalangan mereka siapakah tiga ‘warlord’ berkenaan dan masing-masing pasti cuba meneka berdasarkan situasi politik semasa di negeri ini.
Hakikatnya, apabila bercakap tentang istilah ‘warlord’, tentunya ia membabitkan individu berpengaruh dan mempunyai pengalaman hebat dalam arena politik.

Dalam konteks politik, ‘warlord’ ini lebih tepat dirujuk sebagai ‘maharaja kecil’ yang berkuasa di kawasan masing-masing. Jadi, berpandukan politik semasa di Johor, rakyat negeri ini tentunya tahu siapa ‘warlord’ UMNO di negeri ini dimaksudkan oleh PN.
Sama ada ia dicipta ataupun khabar angin menjelang PRN di enam negeri, persoalannya, masih setiakah tiga ‘warlord’ itu kepada UMNO di Johor?
Bagi penulis, jika tiada angin masakan pokok bergoyang, PN tentunya mempunyai asas apabila menyatakan tentang isu ‘warlord’ berkenaan. Setia atau tidak, hanya tiga ‘warlord’ itu mengetahuinya dan rakyat negeri ini terutama di kawasan diwakili mereka pasti ingin tahu tentang perkara itu.
Pada 5 Jun lalu, PN mengumumkan 10 ‘warlord’ UMNO bakal menyertai gabungan itu menjelang pilihan raya di enam negeri dengan tiga daripada mereka dikatakan berasal dari Johor.
Ketiga-tiganya dikatakan pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam UMNO sebelum ini.

Pada 16 Jun lalu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad membidas tindakan segelintir kepimpinan UMNO yang memberikan gelaran negatif seperti ‘warlord’, pengkhianat dan parasit kepada rakan-rakan dalam parti itu.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tindakan itu tidak membantu mewujudkan sinergi kerjasama baik dalam kerajaan perpaduan ketika ini, sebaliknya menimbulkan ketidakstabilan.
Pada 27 Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggantung keahlian selama enam tahun terhadap Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga bekas Naib Presiden UMNO dan Datuk Maulizan Bujang yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, selain memecat lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang. – nasionalkini.my