KUALA LUMPUR, 14 Mei – Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini melakar sejarah apabila menghimpunkan semua parti-parti kerajaan dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang berlangsung hari ini.
WTC yang menempatkan Ibu pejabat UMNO itu juga akan menjadi medan semua pemimpin dan perwakilan mendengar amanat daripada ketua-ketua komponen parti di bawah Kerajaan Perpaduan.
Ketua-ketua wanita parti dalam kerajaan itu juga tidak terkecuali turut serta dalam konvensyen itu.
Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, perhimpunan itu membuktikan walaupun datang dari parti yang berbeza pemimpin parti masih boleh berdiskusi secara profesional; membawa agenda untuk rakyat serta negara; dalam suasana yang cukup harmoni dan sejahtera.
“Berpuluh tahun menjadi seteru politik. Kita berentap dalam pelbagai lapangan, kita bercanggah fahaman dan ideologi.
“Namun hari ini, suasananya menerbitkan aura yang luar biasa. Kita duduk semeja, bersama melontarkan buah fikiran, menjalin kemas setiap idea bagi menggarap
hala tuju dan misi, agar seirama dan senada,” katanya dalam ucapan sempena konvensyen tersebut.
Noraini berkata, pada awal penubuhan Kerajaan Perpaduan, banyak persoalan yang timbul dan tidak kurang juga ramai yang mempertikaikannya.
Jelas beliau, sejarah dunia membuktikan, banyak negara yang pernah membentuk kerajaan seumpama Kerajaan Perpaduan.
“Malah, beberapa negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat pernah mewujudkan ‘Unity Government’.
“Dampak PRU-15 lalu, tiada parti yang mendapat mandat mentadbir negara secara bersendirian. Atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, maka terbentuklah Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.
Noraini berkata, Kestabilan politik yang mampu memberi suntikan keyakinan kepada pelabur dalam dan luar negeri.
“Kestabilan politik yang boleh membawa negara keluar daripada belenggu ketidaktentuan ekonomi dan menyuburkan perpaduan kita” ujarnya. – Nasionalkini.my