Oleh Arman Dhani Zafir
KUANTAN, 9 Mei – Polis Pahang sudah memanggil enam suspek yang didakwa terlibat dalam kes buli membabitkan lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 Mei lalu untuk direkodkan keterangan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bagaimanapun berkata, semua suspek terlibat tidak ditahan dan hanya dipanggil untuk membantu siasatan.
“Setakat ini, kita telah merakam lebih 10 keterangan termasuk suspek dan mangsa namun siasatan lanjut masih lagi berjalan.
“Kita akan memanggil sebanyak mungkin saksi dikalangan pelatih dan penyelia untuk mendapatkan seberapa banyak keterangan berhubung kes terbabit,” katanya dalam sidang media di Perhimpunan Khas sempena pertukaran Ketua Polis Pahang, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, sebarang kes membabitkan penjawat awam, siasatannya tetap sama.
“Sekiranya didapati ada elemen pelaku telah dikatakan melakukan kesalahan itu dan pada pendapat DPP (Timbalan Pendakwa Raya) perkara ini perlu dibawa untuk pertuduhan maka kita akan teruskan.
“Pihak polis menjangkakan siasatan kes berkenaan tidak lama kerana berlaku di satu lokasi dan tidak membabitkan saksi bebas,” katanya.
Justeru itu, tambah beliau, pihak polis menasihatkan khususnya pihak yang diberi kuasa terutama dalam konteks pusat latihan supaya mengambil perhatian berkaitan perkara buli.
“Diharap perkara seperti ini dapat dibendung dari masa ke semasa.
“Ini kerana kadang-kadang wujud persepsi bahawa benda seperti ini adalah satu ciri atau karakteristik yang sudah menjadi budaya di mana-mana pusat latihan,” katanya.
Terdahulu, terdapat laporan media berkaitan lima pelatih kursus TUDM yang dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.
Kejadian terbongkar apabila terdapat ahli keluarga salah seorang mangsa membuat laporan polis dan memuat naik ke media sosial Twitter. – nasionalkini.my