KUALA LUMPUR, 10 Mei – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan lima pengerusi bagi badan berkanun persekutuan di bawah kementeriannya.
Pelantikan kesemua lima individu berkenaan telah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka yang dilantik terdiri daripada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkuat kuasa Isnin ini.
Selain Mahfuz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil, pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Turut dilantik ialah Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Menerusi kenyataan, Mohamad berkata pelantikan lima pengerusi bagi badan berkanun persekutuan di bawah kementerian diyakini mampu meningkatkan prestasi kementerian selain berpengalaman luas.
“Sukacita dimaklumkan bahawa pelantikan pengerusi bagi lima Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dipersetujui oleh Perdana Menteri.
“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas mereka dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan, pentadbiran dan perkhidmatan.
“Semua pelantikan ini berkuat kuasa 15 Mei 2023,” katanya. – nasionalkini.my