KUALA LUMPUR – PKR membuat beberapa pertukaran kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan rakan sekutu, khususnya Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam misi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan kerusi DUN Batu Tiga yang disandang bekas EXCO Selangor, Rodziah Ismail sebelum ini akan diserahkan kepada AMANAH.
Sebagai tukar gantinya, Anwar berkata, PKR akan bertanding di kerusi DUN Hulu Kelang di bawah Parlimen Gombak.
“Ada pertukaran kawasan saat akhir, saya simpati dengan Roziah tetapi yang kena runding peringkat paling akhir, saya betul-betul minta maaf. Kadang-kadang keputusan bukanlah kita setuju semua, tetapi bila keadaan buntu kita terpaksa ada sedikit kesediaan untuk tolak ansur.
“Jadi sebab itu kita tukar, kita ambil (DUN) Hulu Kelang dan kita serah Batu Tiga. Tetapi ada kebijaksanaannya kerana kita letak calon Hulu Kelang, seorang tokoh yang berani dan berani lawan, Juwairiya Zulkifli,” kata Anwar pada majlis pengumuman calon PKR di Shah Alam malam tadi.
Sementara itu, Anwar berkata, di DUN Kajang, seorang lagi bekas EXCO Selangor, Hee Loy Sian tidak dinamakan semula dengan tempatnya akan digantikan dengan calon muka baharu, David Cheung Kian Yong.
“Bagi (DUN) Kajang pula, keputusan yang sukar kerana Loy Sian memainkan peranan yang sangat baik dan memuaskan, tetapi kita rasa perlu berikan penonjolan kepada tokoh baharu. Kajang David Cheung Kian Yong,” katanya.