in

Cendawan tiram kelabu hasil ‘sentuhan’ anak autisme

Pelajar autisme pusat pembelajaran NASOM Kuantan menunjukkan sebahagian cendawan tiram kelabu hasil projek tanaman yang mereka lakukan

KUANTAN, 23 Julai – Kekurangan tidak menjadi halangan 11 pelajar autisme menjadi ‘petani’ dan menanam cendawan tiram kelabu.

Mereka adalah pelajar Pusat Pembelajaran Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Kuantan yang terletak di Teluk Sisek, di sini.

Penyelaras NASOM Kuantan, Liney Diana Ramli berkata, projek tanaman cendawan yang dimulakan sejak 2020 itu adalah hasil sumbangan modal sebuah syarikat, termasuk guru di pusat pembelajaran berkenaan.

Penyelaras NASOM Kuantan, Liney Diana Ramli

Liney berkata, objektif utama projek itu adalah untuk mendedahkan pelajar dengan gerakan motorik kasar dan bukanlah bermotifkan perniagaan atau mencari keuntungan semata-mata.

“Sekarang kita dah ada lebih 4,000 bongkah tanaman cendawan tiram kelabu dan dua rumah penyimpanan turut dibina dalam kawasan NASOM untuk menjayakan projek berkenaan.

“Hasilnya kita dapat tuai empat kali dalam satu musim dan untuk sekali tuai kita mampu meraih antara 30 hingga 40 kilogram (kg) cendawan tiram kelabu,” katanya ketika ditemui di NASOM Kuantan, hari ini.

Pelajar turut didedahkan cara membungkus cendawan tiram kelabu yang dituai

Liney Diana memaklumkan, penjualan cendawan tiram kelabu hasil anak autisme itu mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada warga Kuantan.

“Alhamdulillah, ramai yang menyokong hasil tani anak-anak autisme dan perolehan (jualan), kita agihkan kepada mereka (pelajar terlibat) sebagai upah,” katanya lagi.

Dia memberitahu, cendawan tiram kelabu dituai perlu segera digredkan dan dibungkus serta diedarkan kepada pelanggan bagi memastikan kualiti rasa termasuk warna dapat dikekalkan.

Menurutnya, bagi memastikan kualiti terjamin, pelajar juga dilatih dengan keadah membungkus dan menimbang hasil tuaian dengan bantuan guru pusat itu.- nasionalkini.my

merajuk 1

Wanita merajuk… Apa perlu buat?

123

Dua kerusi PKR akan digantikan calon Amanah