KUANTAN, 30 Mei – Kerajaan Selangor sepatutnya ‘malu’ dengan isu pelantikan syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd bagi mengendalikan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) di negeri itu.
Ini kerana kerajaan negeri terbabit sering melaungkan pelaksanaan tender terbuka dalam setiap projek di Selangor.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, penganugerahan projek DRT kepada Asia Mobility secara tidak langsung akan menjejaskan kredibiliti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Mereka juga yang mempromosikan tatakelola yang baik, tapi kenapa ia tidak berlaku dalam kes Asia Mobility dan DRT?
“Berlaku konflik kepentingan secara jelas apabila salah seorang pengurusan Asia Mobility adalah suami kepada seorang menteri Kabinet.
“Janganlah kita mencipta pelbagai alasan dan kewajaran dalam usaha ‘menghalalkan’ perkara yang salah,” katanya.
Dr Abdul Rasid berpandangan, kerajaan Selangor perlu menarik semula keputusan pelantikan Asia Mobility, demi menjaga ‘air muka’ Kerajaan Madani.
“Semakin lama isu ini dibiarkan, makin teruk imej kerajaan Madani… jadi, tukarlah syarikat lain.
“Lagi pula, DAP yang bersama Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum lalu banyak berkempen menentang pemberian kepada tender awam kepada keluarga ahli politik dan menentang kronisme dan serta pilih kasih,” jelasnya.
Dia juga berharap isu berkenaan memberi pengajaran kepada kerajaan Madani supaya tidak terlalu selesa dalam membuat keputusan, terutamanya membabitkan kepentingan awam.
“Rakyat sedang memerhati… sedang menilai apa yang dikatakan tatakelola dan macam-macam lagi.
“Kalau bab tender terbuka pun tak mampu nak laksanakan, bagaimana pula dengan proses ketelusan lain,” katanya. – nasionalkini.my