in

Amizar tekad tingkat akses pendidikan Orang Asli

Gambar oleh Bernama

BENTONG, 25 September – Calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam, bertekad meningkatkan akses dan tahap pendidikan masyarakat Orang Asli, jika diberikan mandat oleh rakyat kawasan itu, 7 Oktober ini.

Beliau mahu melihat aspek pendidikan menjadi asas kepada masyarakat Orang Asli di situ, sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan mendapat pekerjaan baik bagi mengubah nasib keluarga.

“Saya ada bertanya kepada beberapa anak muda, ada yang berumur 14 dan 15 tahun, tetapi mereka kurang mendapat pendidikan.

“Hasrat saya untuk menambah nilai tahap pendidikan sehingga menjadi asas masyarakat Orang Asli di sini,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni penduduk Orang Asli Ulu Semei, hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata, kerajaan Pahang tidak pernah meminggirkan keperluan masyarakat Orang Asli dan sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup mereka setanding kaum lain di negara ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM12.32 juta tahun ini bagi meningkatkan taraf kehidupan komuniti Orang Asli dalam pelbagai aspek di Pahang.- nasionalkini.my

Polis kutip saman RM302.43 juta

NK PN

Kemenangan PN di Parlimen Kemaman terbatal