KUANTAN, 29 Ogos – Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli menjadi individu pertama menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober depan.
Menurutnya,keputusan untuk bertanding di kerusi terbabit kerana mahu membawa suara anak Pahang perlu didengar dalam DUN.
Jelasnya, sebuah negara demokrasi sesiapa pun berhak untuk bertanding.
“Alhamdulillah saya hadir ke pejabat SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) negeri Pahang hari ini (Selasa) bagi mendapatkan borang pencalonan.
“Ahli keluarga di Pelangai juga menjadi penyokong dan pencadang kepada saya unuk bertanding di kerusi (DUN) N36 Pelangai. Salam hormat dan salam seperjuangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Haslihelmy mendakwa dia mendapat maklum balas yang sangat memberangsangkan tentang kerusi DUN Pelangai kerana beliau merupakan anak jati di kawasan itu.
“Masyarakat di DUN Pelangai juga memberi signal jelas dan mereka mahu seorang wakil rakyat yang lantang bersuara.
“Saya bukan sahaja akan membawa suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan isu setempat di kawasan DUN sekiranya diberi mandat oleh rakyat di kawasan itu,” jelas secara ringkas.
Pada 13 Februari lalu, Haslihelmy, 36, dalam UMNO hampir 15 tahun pernah menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong pada pemilihan parti tersebut.
SPR menetapkan PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.
Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.- nasionalkini.my