KUCHING, 28 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan memulakan jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ di Sarawak dari 7 hingga 13 September depan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata konvoi Seri Paduka di negeri ini akan membabitkan perjalanan sejauh 1,198 kilometer (km).
Beliau berkata, ia dijadualkan bermula dari arah utara hingga ke hujung selatan Sarawak, iaitu dari pintu masuk Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Merapok, Lawas, hingga Telok Melano.
“Secara rasmi, rombongan Seri Paduka akan tiba di Sarawak pada 7 September depan, dari Sabah melalui jalan darat di pintu masuk ICQ Merapok, dan rombongan akan terus ke Bandar Lawas menuju ke Tebingan Lawas sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei Darussalam.
“Baginda dan rombongan akan berada di Brunei selama tiga hari dari 7 hingga 9 September depan. Konvoi baginda dijangka tiba di Miri bagi meneruskan ‘Kembara Kenali Borneo’ di Sarawak,” katanya dalam sidang media ‘Kembara Kenali Borneo’ di sini, hari ini lapor Bernama.
Abdul Karim berkata, antara lokasi bakal dilawati rombongan Al-Sultan Abdullah di bahagian utara negeri ini ialah Coco Cabana Miri, Kampung Penan Muslim Batu 10 dan Rumah Panjang Raymond Plen di Sebauh, manakala di wilayah tengah pula membabitkan lokasi Tokong Yu Lung Tian En Si, Kampung Bandung Sibu dan Pasar Central Sibu.
Lokasi menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo kemudian diteruskan ke bahagian selatan Sarawak, iaitu Masjid Bahagian Sri Aman dan Zero KM Lebuh Raya Pan Borneo, Telok Melano.
“Saya bertanggungjawab sebagai menteri pengiring dan akan berada bersama-sama baginda sepanjang jelajah di Sarawak dari 7 September depan.
“Selain itu, ada menteri dan timbalan menteri Sarawak yang ditugaskan mengikut lokasi berbeza, untuk menyambut ketibaan rombongan terbabit,” katanya sambil memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai program menarik di setiap lokasi yang bakal dilawati.
Abdul Karim berkata, antara program berkenaan ialah pameran dan demonstrasi kraftangan, aktiviti kebudayaan, dan aktiviti memasak yang mengetengahkan keunikan juadah Sarawak.
“Paling penting, rombongan Al-Sultan Abdullah turut berpeluang beramah mesra dengan rakyat di Sarawak, sejajar matlamat utama kembara, yakni untuk mendampingi dan menyantuni rakyat Sarawak,” katanya.
Jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ dijadualkan bermula dari Tawau, Sabah, pada 3 September depan dan berakhir di Teluk Melano, Sarawak, pada 13 September dengan membabitkan perjalanan sejauh 2,154km.
Mengenai kawalan lalu lintas sepanjang jelajah berkenaan, Abdul Karim berkata, perkara itu telah diatur rapi oleh Istana Negara dengan kerjasama kerajaan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pejabat Residen Bahagian Sarawak yang dilawati pasangan diraja itu.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang perjalanan kembara baginda berdua.- nasionalkini.my