TEBING BARAT, 23 Ogos – Tentera Israel membunuh lebih 200 rakyat Palestin setakat tahun ini, iaitu jumlah tertinggi direkodkan sejak 2005, menurut wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timur Tengah.
Memetik middleastmonitor.com, jumlah berkenaan dilihat melebihi jumlah keseluruhan yang direkodkan sepanjang tahun lalu iaitu 155 orang.
Penyelaras Khas PBB untuk Proses Keamanan Timur Tengah, Tor Wennesland berkata, 30 warga Israel juga telah terbunuh tahun ini.
Katanya, tindakan perluasan berterusan terhadap penempatan haram Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan menghalang kepada proses keamanan dua negara.
Wennesland pada masa sama turut memberi amaran bahawa keganasan Israel ke atas Palestin tidak membawa kesudahan, melainkan lebih banyak pertumpahan darah.
Beliau turut menggunakan media sosial untuk menggesa pemimpin di peringkat antarabangsa bertindak bagi meredakan keadaan di wilayah itu.
Terbaharu, tentera Zionis menembak mati remaja Palestin yang berusia 17 tahun selepas melakukan serbuan di bandar Jenin di Tebing Barat.