KUALA LUMPUR, 7 Jun – Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak kesayangan diuji dengan penyakit kritikal. Itulah jua yang dialami pasangan muda yang diuji dengan anaknya yang menghidap penyakit genetik jarang berlaku.
Bagi bapa muda, Mohd Syafiq Idrus tidak menyangka dirinya terpilih diberi ujian hebat sang Pencipta apabila si comel berusia empat bulan, Sufi Syafrina Mohd Syafiq disahkan penyakit Atrofi Otot Spina, jenis 1.

Berkongsi saat diuji, bapa muda itu berkata, pada mula dia hanya menyangka anaknya hanya demam biasa berikutan si kecil itu kerap tidak sihat.
Namun alangkah terkejut apabila dirujuk ke Hospital Kajang, Sufi disahkan penyakit genetik dan memerlukan rawatan khusus untuk merawat anak kesayangan.
“Ketika Sufi dirujuk ke Hospital Kajang, Mei lalu keadaan semakin serius dan tiba-tiba berdepan kesukaran bernafas sehingga memerlukan bantuan pernafasan,” katanya yang reda dengan ketentuan yang ditetapkan.
Sufi kemudian dirujuk Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tunku Azizah (HTA) dan pihak hospital mengesahkan Sufi bukan demam biasa setelah ujian darah dilakukan sebaliknya mengalamimasalah kesihatan yang serius,” katanya.
Ketika itu bapa muda yang berusia 39 tahun itu reda dengan ketentuan dan ujian yang diberikan dan tetap mahu berusaha untuk merawat anak kesayangan.
Namun kini buntu kos rawatan yang diperlukan di luar kemampuannya bagi mendapatkan rawatan suntikan khas jenis Zolgensma yang mencecah RM9.2 juta bagi memulihkan anak perempuan.
Katanya, dia tidak mahu menyerah dan akan bersungguh-sungguh mencari jalan membantu anaknya kembali pulih.
Malah, dia tidak malu untuk mencari dana berkenaan demi masa depan anaknya.
“Setakat ini wang yang terkumpul kira-kira RM2,000 hasil dari usahanya dan ahli keluarga yang lain,” katanya.
Atas dasar kemanusiaan, beliau berharap ada pihak yang memahami keadaan dan sudi membantu menyelamatkan anaknya supaya mampu menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.
Syafiq turut merayu kepada semua pihak untuk membantu bagi mencukupkan dana yang diperlukan bagi membolehkan anaknya dirawat segera.
“Saya merayu kepada rakyat Malaysia agar dapat membantu bagi meneruskan rawatan, tidak kira berapa jumlah sumbangan yang diterima saya cukup berterima kasih kepada mereka yang sudi membantu menyelamatkan Sufi.
Katanya, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh terus ke akaun Maybank 162021568704 atas nama Mohd Shafiq Idrus. – nasionalkini.my