KUALA LUMPUR, 7 Jun – Mayat dipercayai dua beranak ditemukan terapung dalam tasik di Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Peyelamat Kuala Lumpur, memaklumkan menerima panggilan kecemasan kes itu menerusi talian MERS999 pada jam 10.21 pagi tadi.
Katanya, seramai 14 anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang serta BBP Jalan Hang Tuah ke lokasi untuk operasi membawa naik dua mayat berkenaan.
“Mangsa pertama, seorang wanita dewasa warga tempatan berumur 30 tahun ditemui terapung, berjaya dikeluarkan dan diserah kepada polis.
“Pada operasi sama, Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) bomba turut menemui seorang lagi mangsa yang tenggelam dalam tasik berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun dan mayatnya juga diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Setakat ini belum dapat dipastikan punca kejadian dan sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak polis. – nasionalkini.my