in

Tragedi Elmina: Keluarga mangsa terima PERKESO

perkeso
Timbalan Pengarah PERKESO Perak, Roslan Pilus (kiri) menyampaikan bantuan faedah perlindungan PERKESO kepada Suhaila sambil disaksikan Pengurus PERKESO daerah Manjung, Mohd Shaperi Md Salleh.

MANJUNG, 22 Ogos – Balu kepada Komander (B) Shaharul Amir Omar, mangsa nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Shah Alam, Khamis lalu menerima bantuan faedah PERKESO.

Suhaila Akasah dan empat anaknya iaitu Izzat Danish, 19; Imanina Zulaikha, 17; Ismahani Dhaniyah, 15, dan Iyliaa Najwa, 13, selaku waris layak menerima bantuan faedah berkenaan menerusi Skim Bencana Pekerjaan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Waris menerima Faedah Pengurusan Mayat RM2,000 untuk sekali bayar, manakala bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) kepada balu untuk seumur hidup dan anak-anak menerima bayaran berkenaan sehingga berusia 21 tahun.

Penyampaian bantuan berkenaan diserahkan oleh Timbalan Pengarah PERKESO Perak, Roslan Pilus.

Turut hadir, Pengurus PERKESO Daerah Manjung, Mohd Shaperi Md Salleh.

Ibu Tunggal yang kini berusia 47 tahun itu berkata, faedah PERKESO besar ertinya untuk menguruskan anak-anaknya yang masih bersekolah serta meneruskan kehidupan.

Katanya, selepas kehilangan suami, beliau risau memikirkan nasib anaknya kerana tidak bekerja dan tiada pendapatan sendiri.

“Sejak melahirkan anak pertama, saya sudah tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa untuk menguruskan anak-anak,” katanya ketika penyerahan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) semalam.

Shaharul Amir sebelum ini berkhidmat sebagai juruterbang helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga bersara diberikan penghormatan terakhir dengan dikebumikan mengikut istiadat pengebumian TLDM di Tanah Persemadian Islam Fasa 3C Seri Manjung, Ahad lalu.

Katanya, anak- anak sudah faham dan boleh terima ayah mereka sudah tiada. Sebagai ibu perlu kuat demi anak-anak.

Keempat-empat anaknya termasuk anak sulungnya yang juga mengalami autisme dapat menerima dengan pemergian Shaharul, 49.

“Sewaktu pengebumian arwah, anak sulung (Izzat Danish, 19) tidak bercakap tetapi air matanya mengalir melihat jenazah ayahnya dibawa turun ke liang lahad, bermaksud dia juga faham.

“Kehilangan ini memang sukar, tetapi anak-anak kami boleh menggawal emosi memandangkan mereka semua sudah besar dan matang,” katanya. – nasionalkini.my

MAF14 milik Azhar Sulaiman untuk dijual

20230508 005226

LYNAS peroleh kebenaran mula semakan kehakiman