KOTA BHARU, 21 Jun – Seorang pemandu bas yang putus tangan kanan akibat nahas kemalangan jalan raya melahirkan rasa teruja dan kembali bersemangat meneruskan kehidupan selepas Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan bersedia membekalkan tangan palsu menerusi Program Return to Work.
Mohamad Amiruddin Azhar, yang juga pemandu bas henti-henti Mutiara Rentas Desa (MRD) mengalami kemalangan ketika bertugas pada 15 April lalu.
Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob berkata, Mohamad Amiruddin akan dirujuk untuk menjalani fisioterapi dan terapi cara kerja secara lawatan ke rumah panel fisioterapi PERKESO bagi menguatkan kembali fungsi sebelum tangan palsu dibekalkan.
“PERKESO mengadakan perbincangan awal dengan Konsortium E Mutiara Berhad mengenai skop tugasan sesuai menerusi kaedah transisi pekerjaan selepas Amiruddin pulih dan mampu bekerja kelak.
“Amiruddin layak mendapat faedah pampasan dalam bentuk kewangan dan dibantu dalam aspek Pengurusan Hilang Upaya menerusi Program Return to Work dengan pembekalan tangan palsu.
“Beliau akan dibantu membuat tuntutan Faedah Hilang Upaya Kekal selepas tamat tempoh cuti sakit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kunjungan berkenaan Amiruddin menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara sebanyak RM3,608.89 daripada PERKESO.
Pemuda berusia 26 tahun itu terbabit dalam kemalangan enam kenderaan di Kilometer 37 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu (Persimpangan Lampu Isyarat Bypass Sri Aman), di Pasir Puteh.
Sementara itu, Amiruddin berterima kasih kepada PERKESO dan majikan yang prihatin dengan nasib yang menimpa dirinya. – nasionalkini.my