Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 6 Jun – Sebuah kenderaan milik Pos Malaysia yang membawa surat dan barangan pos musnah dalam kebakaran ketika sedang dalam perjalanan di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) di Bukit Baru, di sini tengah hari tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Sofian Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran kenderaan pada pukul 11.58 pagi sebelum tiba tujuh minit selepas itu.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kenderaan jenis Tata milik Pos Malaysia sudah 80 peratus terbakar manakala pemandu sudah keluar menyelamatkan diri.
“Semua surat dan barangan pos laju bagaiamanapun sempat diselamatkan pemandu dan orang awam yang membantu ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambahnya, api berjaya dikawal pada pukul 12.09 minit dengan kekuatan sembilan anggota menggunakan satu aliran salur bantu mula air tangki jentera dan buih.
Sementara itu, tinjauan nasionalkini di tempat kejadian setakat pukul 4 petang tadi mendapati kenderaan terbabit masih belum dialihkan dari tempat kejadian.
Orang ramai turut dilihat merakamkan kejadian berkenaan dan berharap semua surat atau bungkusan kiriman pos sempat diselamatkan. – nasionalkini.my