Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 11 Mei – Seorang wanita yang layak bergelar nenek dijatuhi hukuman lima tahun penjara di Mahkamah Sesyen Melaka di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengambil dadah tahun lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nor Azizah Rahmat, 54, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Pengutip barang kitar semula yang juga ibu kepada empat anak berusia 21 hingga 24 tahun itu bagaimanapun dikecualikan daripada hukuman sebat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memberikan kepada diri sendiri dadah jenis amphetamine dan methamphetamine yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BBSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin pada kira-kira pukul 2.30 pagi 28 September 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39(1)(c) akta sama, jika disabitkan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun dan hukuman sebat, tidak lebih tiga sebatan.
Terdahulu tertuduh ketika rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dan bermula dari tarikh ditangkap.
Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari bagaimanapun memohon hukuman setimpal.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, HakimDarmafikri menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula tarikh sabitan hari ini. – nasionalkini.my