GERIK, 16 Julai – Seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dipercayai akibat tercekik biji rambutan dalam kejadian di pekarangan kediaman mereka di FELDA Lawin, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata kematian mangsa berumur 72 tahun itu disahkan oleh pegawai perubatan kira-kira jam 8.30 malam setelah dikejarkan ke Klinik Kesihatan (KK) Lawin.
Berdasarkan maklumat diberikan anak perempuan mangsa, katanya, warga emas itu dikatakan tiba-tiba mengalami sesak nafas ketika berada di luar beranda rumah mereka kira-kira jam 7 malam.
Susulan itu, beliau berkata, wanita berusia 46 tahun terbabit bergegas menghantar ibunya ke KK Lawin.
“Ketika berada di pusat (klinik) kesihatan itu, mangsa diperiksa sebelum didapati ada sesuatu terlekat dalam kerongkong mangsa.
“Selepas berjaya dikeluarkan, ia disyaki adalah biji rambutan.
“Mangsa diberikan bantuan pernafasan oleh pegawai perubatan sebelum disahkan meninggal dunia.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan di klinik kesihatan itu mendapati tiada sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa,” katanya seperti dilapor BH Online.
Dia berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik, Hospital Gerik, mengesahkan punca kematian mangsa adalah ‘asphyxia’ atau sesak nafas.
“Justeru, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – nasionalkini.my