in

IKR selesaikan pelbagai keperluan mendesak di kawasan setempat – Penganalisis

WhatsApp Image 2023 06 21 at 8.36.43 PM
Karenah birokrasi menyebabkan masalah kecil yang memerlukan tindakan segera seperti jalan berlubang dan bumbung balai raya rosak lambat diselesaikan.

Iskandar Zulkarnain

KUALA LUMPUR 21 Jun – Kerajaan diminta mempertimbangkan pemberian dana Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) kepada pejabat daerah dalam menyelesaikan pelbagai keperluan mendesak di kawasan setempat.

Ini kerana sebelum itu berlaku banyak karenah birokrasi sehingga menyebabkan masalah kecil yang memerlukan tindakan segera seperti jalan berlubang dan bumbung balai raya rosak lambat diselesaikan.

AbuSofianYaacob
Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob secara dasarnya menyokong penuh usaha kerajaan melaksanakan IKR dengan peruntukan besar sebanyak RM500 juta.

“Kalau ada permohonan disegerakan, maknanya duit sudah disiap sedia dan bila ada permohonan sahaja terus berikan kelulusan. Mudahkan, sebab sebelum ini memang sukar nak dapat.

“Proses (sekarang) susah, makan masa lama. Kena pergi ke ketua kampung untuk dibawa ke pejabat daerah. Panggil pula JKR dan kontraktor lain, itu saja sudah berapa lama masa yang diperlukan.

“(IKR) ini terus disalurkan ke pejabat daerah yang kemudian beri kepada ketua kampung. Bagi tahu ketua kampung ada peruntukan, kalau ada kerosakan boleh diselesaikan,” katanya ketika dihubungi nasionalkini.my, hari ini.

Semalam, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan, IKR yang merupakan bantuan bertujuan mendemokrasikan dana kerajaan dalam membiayai pelaksanaan projek kecil.

Katanya, IKR membolehkan rakyat memaklumkan secara terus mengenai keperluan projek infrastruktur kecil awam di kawasan kediaman masing-masing kepada Kementerian Ekonomi dengan kos projek tidak melebihi RM200,000.

Melalui peruntukan tersebut, Rafizi berkata, IKR dijangka memanfaatkan sekurang-kurangnya 2,500 projek kemudahan rakyat di seluruh negara.

Bantuan projek infrastruktur awam kecil boleh dimohon menerusi laman web IKR, https://ikr.ekonomi.gov.my/ sama ada bagi projek baharu atau projek pembaikpulihan.

Pada masa sama, Prof Abu Sofian melihat, pelaksanaan IKR boleh merancakkan kembali ekonomi setempat dengan pemberian kontrak kepada kontraktor tempatan.

Ujarnya, pada ketika ini ramai dalam kalangan kontraktor mengeluh kerana kesukaran untuk mendapatkan projek dan melalui IKR ia umpama satu peluang keemasan dalam memperbaiki ekonomi mereka.

“Kontraktor kecil tempatan boleh cari makan, kerosakan boleh dibaiki segera. Pemantauan boleh dibuat oleh pegawai daerah atau wakil rakyat.

“Sekarang ini ramai kontraktor kelas F mengeluh tiada kerja, mereka ini mengharapkan kerja daripada majlis daerah untuk diagihkan kerja,” katanya lagi.

WhatsApp Image 2023 06 02 at 9.49.13 PM

Tawaran sertai BERSATU, KJ minta masa tambahan

bakar selamat

Tindakan pantas cucu usung nenek lumpuh berjaya selamatkan daripada terbakar