Oleh: Mohammad Ishak
JERTIH, 23 Julai – Tan Sri Idris Jusoh membuat pendedahan dirinya pernah diajak untuk berhijrah ke parti lain dan ditawarkan dengan jawatan.
Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Besut itu mengakui jiwanya masih setia dengan perjuangan UMNO membuatkan beliau nekad meneruskan perjuangan dengan parti keramat orang Melayu demi membela bangsa dan negara.
Katanya kejadian berkenaan berlaku sebnayak dua kali iaitu selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) pada 2018 manakala kali kedua berlaku selepas kontrak sebagai Pengerusi Felda itu ditamatkan, baru-baru ini,
Bagaimanapun bekas Menteri Besar Terengganu itu tetap setia dengan UMNO dan tidak mahu mengkhianati perjuangan yang dilakukan selama ini.
“Jika saya mengejar jawatan sudah lama saya membuat keputusan meninggalkan UMNO. tetapi jiwa saya tetap kekal bersama parti keramat,” katanya kepada nasionalkini.my, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis maraikan calon Barisan Nasional DUN Jertih, Mohd Rozaini Rasli di Pejabat Penyelaras DUN, di bandar Jerteh.
Bercerita lanjut, Idris berkata, perjuangan dengan UMNO akan diteruskan dan tidak akan berpaling serta meninggalkan parti yang membela orang Melayu selama ini berikutan sudah sebati dengan jiwanya.
Dalam majlis berkenaan Idris berharap calon yang dipilih mewakili rakyat di kawasan tersebut akan terus kuat menghadapi cabaran sekiranya dipilih rakyat.
Malah, beliau juga memberi jaminan untuk turut serta berkempen sempena PRN bagi membantu memangkan calon BN tersebut.
Rozaini penyandang Ketua Pemuda UMNO Besut diumumkan calon BN menggantikan bekas ADUN Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof yang berpindah ke DUN Kota Putera untuk PRN kali ini. – nasionalkini.my