KUANTAN, 6 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang ketua polis daerah di negeri ini kerana dipercayai menerima suapan lebih RM1 juta.
Suapan dikatakan diterima pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut yang beroperasi di dalam daerah di bawah kawalannya.
SPRM Pahang dalam satu kenyataan berkata, suspek ditahan ketika dipanggil untuk dirakam keterangan di ibu pejabat SPRM Pahang petang tadi.
“Suapan dianggarkan lebih RM1 juta itu diterima pegawai kanan polis terbabit antara 2017 hingga 2022,” kata kenyataan itu.
Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Kuantan, pagi esok bagi tujuan reman.
Dalam pada itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman mengesahkan penahanan seorang pegawai kanan polis seperti laporan yang tersebar di media sosial sejak lewat petang tadi.
Beliau memberitahu pihaknya memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan. – nasionalkini.my