BAGAN SERAI, 26 Julai -Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun selamat susulan kejadian seekor ular jenis senduk berada pada bahagian bawah badan kanak-kanak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian berkenaan berlaku pada Isnin, 24 Julai lalu lalu ketika kanak-kanak berada di rumah pengasuhnya di Taman Serai Perdana di Bagan Serai.
“Sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 11.28 pagi Isnin lalu, sepasukan anggota yang dikejarkan lokasi mendapati anak ular jenis senduk itu berada pada bahagian bawah badan kanak-kanak berkenaan di ruang tamu rumah.
“Pihak bomba menggunakan penyepit untuk menangkap ular itu sebelum ia dibawa ke lokasi sesuai untuk dilepaskan,” katanya sambil mengesahkan kanak-kanak terbabit selamat.
Terdahulu tular, di laman sosial video berdurasi 19 saat memaparkan seekor ular senduk menyusur di bawah badan seorang kanak-kanak lelaki yang sedang berbaring di ruang tamu.
Video itu dimuatnaik pemilik akaun Tik Tok @mummy_miazara dua hari yang lalu dan dikatakan berlaku ketika berada dirumah pengasuhnya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga maya mendoakan kanak-kanak itu tidak mendapat sebarang kecederaan mahu pun trauma.
Sehingga kini, video itu menerima lebih 4.3 juta tontonan, selain dikongsi lebih 32,5000 kali dengan lebih 6,300 komen. – nasionalkini.my