KUALA LUMPUR 14 Mei – MR D.I.Y. (M) Bhd (MR DIY) berada dalam landasan yang baik untuk membuka 180 cawangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dengan pembukaan bersih 45 kedai baharu pada suku pertama 2023.
Malah, kumpulan itu turut menyasarkan untuk melancarkan jenama baharu dikenali sebagai Empro dalam usaha menawarkan rangkaian produk yang lebih anjal, demikian menurut RHB Investment Research dalam nota kajiannya.
Selain itu, syarikat peruncit perkakasan isi rumah itu akan memperkenalkan versi baharu kepada jenama MR DOLLAR di bawah nama MR DOLLAR ONE PLUS.
Firma penyelidikan itu percaya momentum perolehan positif dipercayai terus mampan setelah mengambil kira faktor penggalak kos serta pergerakan kadar muatan yang menguntungkan.
“Ini sepatutnya melindungi kenaikan margin untung kasar (GPM), dan pada masa sama, membuka peluang kepada kumpulan untuk mengambil pendekatan pemasaran yang lebih agresif.
“Langkah ini mampu meningkatkan trafik pengunjung dan menguatkan perbelanjaan pengguna daripada terjejas akibat inflasi yang tinggi,” katanya.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan di Bursa Malaysia pada Jumaat, keuntungan bersih MR DIY pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 meningkat kepada RM127.77 juta daripada RM100.5 juta bagi tempoh sama sebelumnya disebabkan terutamanya pendapatan dan keuntungan kasar yang lebih tinggi.
Pendapatannya pada suku berkenaan turut meningkat 15.6 peratus kepada RM1.04 bilion daripada RM905.16 juta pada suku sebelumnya.
Prestasi lebih baik ini dipacu terutamanya oleh bilangan cawangan, meningkat 18.8 peratus tahun ke tahun kepada 1,125 cawangan berbanding 947 cawangan sebelum ini.
Berikutan prestasi ini yang memenuhi jangkaan firma, RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap MR DIY dengan harga sasaran pada RM2.48 sesaham.
“Keputusan suku pertama ini berada dalam jangkaaan kami dengan suku akan datang dilihat yang lebih kukuh.
“Kami juga menjangkakan pertumbuhan pendapatan FY23 sebanyak 24% akan disokong oleh pemulihan GPM dan pengembangan kedai,” jelasnya. – nasionalkini.my