KUALA LUMPUR, 22 Mei – Kerajaan memperuntukkan kos lebih RM4 juta untuk membaik pulih sekolah dan bangunan awam yang terjejas akibat ribut, Jumaat lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kesemua premis yang terkesan melibatkan bangunan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pertahanan (Mindef), Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Kerja Raya (KKR).
Pelaksanaan baik pulih dijalankan membabitkan sebanyak 29 buah sekolah, lima unit kuarters milik Mindef, sebuah bangunan Kedutaan Palestin dan beberapa kuarters milik KKR sendiri.
“Pada awalnya, hanya 15 sekolah dilaporkan mengalami kerosakan namun JKR mendapat laporan tambahan menunjukkan 14 sekolah lagi dilaporkan rosak teruk menyebabkan jumlah keseluruhan buat masa ini sebanyak 29 sekolah.
“Pembaikan dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) namun menggunakan peruntukan KPM, dianggarkan dalam RM3 juta kos baik pulih semua sekolah yang terlibat,” katanya.
Alexander menambah, sebanyak lima unit rumah jenis kuarters Mindef yang terjejas akibat ribut juga akan diperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi kos baik pulih.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberitahu, KKM telah melaksanakan beberapa alternatif bagi memastikan kerja baik pulih segera dilakukan dalam tempoh cuti sekolah ini.
“Di sekolah ini sahaja (SK Setapak) sebanyak lapan kelas terpaksa ditutup sekali gus 70 murid terkesan dengan bencana yang berlaku ini.
“Justeru itu, kerja baik pulih sekolah akan mengambil masa sedikit kerana ada 29 buah sekolah yang terkesan dan diharapkan dalam masa cuti sekolah kesemua sekolah ini berjaya dibaik pulih,” jelasnya.
Jumaat lalu, beberapa kawasan di seluruh negara termasuk Lembah Klang mengalami hujan lebat dan angin kencang, menyebabkan beberapa infrastruktur mengalami kerosakan teruk. – nasionalkini.my