JOHOR BAHRU, 7 Julai – Warga Singapura yang diburu polis susulan kes pertengkaran dengan seorang penghantar makanan di sebuah stesen minyak di Sunway Box, Iskandar Puteri, Johor pada 16 Jun lalu, sudah ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 2.30 petang semalam di hadapan perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
Menurutnya, lelaki berusia 46 tahun itu ditahan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri susulan dikehendaki kerana dipercayai terbabit dalam kes pertengkaran berkenaan.
“Warga Singapura itu dipercayai terbabit dalam kes tular video pertengkaran membabitkan sekumpulan individu di sebuah stesen minyak di Sunway Box, Iskandar Puteri pada 16 Jun lalu.
“Suspek mengakui terbabit dalam kes berkenaan. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, namun masih lagi dikehendaki bersabit laporan polis membabitkan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Kes masih dalam siasatan untuk mengesan saksi dan bukti-bukti lain,” katanya.
Dalam kejadian jam 8.37 malam 16 Jun lalu, seorang penghantar makanan mendakwa semasa hendak mengisi minyak, sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dinaiki dua lelaki telah berhenti untuk isi minyak di pam sama.
Penghantar makanan itu ke pam untuk mengisi minyak tetapi melihat warga asing terbabit memegang tong di pam sama dan berlaku selisih faham di antara kedua-dua pihak.
Susulan itu tular video memaparkan pertengkaran mereka yang kemudiannya pertengkaran berjaya dileraikan oleh Polis Bantuan Sunway yang turut berada di situ.
Difahamkan, kedua-dua lelaki Singapura itu berang setelah ditegur penghantar makanan terbabit ketika cuba mengisi minyak menggunakan tong.
Salah seorang daripada lelaki warga asing itu juga dirakam mengeluarkan objek disyaki pengunci streng dipercayai cuba menyerang penghantar makanan berkenaan. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN